Debak, sebuah
pekan kecil yang komprehensif dan membangun terletak di antara
Betong dan Saratok. Dengan menyelusuri Lebuhraya Pan-Borneo, Debak
kini dapat diakses dengan jalan darat berturap. Dengan status
sebagai sebuah daerah kecil, Debak menawarkan pelbagai kegiatan
sosio- ekonomi kepada penduduk di sekitar kawasannya. Sungai Rimbas yang mengalir lesu di dada Debak merupakan
nadi utama perhubungan Debak dengan kawasan di sekelilingnya.
Kegiatan pertanian merupakan ikon utama pekerjaan penduduk Debak.
Sesuai dengan peredaran masa dan tahap intelek yang semakin tinggi,
35 peratus dari penduduk Debak sudah berkarier di sektor kerajaan,
swasta dan menjadi usahawan.
Dilengkapi dengan kemudahan asas, Debak juga menjadi
tumpuan kepada penduduk disekitar kejiranan daerah dengan pelbagai
keunikan dan keistimewaan. Komposisi penduduk yang merangkumi Melayu,
Iban dan Cina cukup menjadikan Debak sebuah kawasan yang mesra dan
meriah. Laman
web ini lebih memfokuskan kehidupan dan peradaban masyarakat Melayu
Saribas di Debak. Di Debak, terdapat beberapa penempatan Melayu yang
menjadi sebahagian gugusan kelompok Melayu Saribas. Antaranya Debak
sendiri yang terdiri dari Kampung Babu, Kampung Bungey, Kampung
Lalang dan Kampung Debak Laut. Selain dari itu, Dit, Tuie dan
Serabang juga merupakan penempatan Melayu Saribas di Debak.